Harini tidak sempat hendak menyediakan juadah berbuka puasa kerana satu kawasan taman terputus bekalan air. Agak susah untuk menyediakan bahan masakan dengan ketiadaan air.
Nasib baik sebelum bekalan air terputus tadi saya sempat menyiapkan bahan bahan untuk membuat nasi goreng kampung. Kebetulan nasi semalam masih elok dan banyak. Masa pula semakin suntuk.
Juadah lain seperti masak lemak merah ikan tongkol, ikan goreng semua dimasak selepas waktu isyak. Suami pula membeli murtabak dan air kelapa dari bazaar ramadhan. Ada juga penyeri untuk berbuka puasa.
Nasi Goreng Kampung Pedas & Cendawan Shitake
Nasi Goreng Kampung Pedas & Cendawan Shitake
Bahan-bahan:
(Tumbuk)
1/2 biji bawang besar
3 biji bawang putih
Sedikit ikan bilis
10 biji cili padi
Nasi sejuk
Ikan bilis - digoreng rangup
Cendawan shitake - dipotong kiub
Garam
Lada sulah
Sedikit minyak
Cara-cara:
1. Tumiskan bahan yang ditumbuk sehingga naik bau dan garing.
2. Kemudian masukkan cendawan shitake. Kacau rata.
3. Masukkan nasi sejuk, garam dan lada sulah.
4. Akhir sekali masukkan ikan bilis goreng dan sedia untuk dihidang.